PAPAR: Pengguna di Sabah berpeluang menikmati penjimatan pembelian barangan segar menerusi Kempen Turun Harga Barangan Segar @ Bataras yang berlangsung selama lebih dua bulan bermula hari ini hingga 31 Oktober depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kempen yang dilaksanakan Bataras Sdn Bhd itu membabitkan 30 jenis barangan segar dengan tawaran diskaun antara lima hingga 30 peratus berbanding harga asal.
Katanya, kempen berkenaan dilaksanakan di semua 58 cawangan Pasar Raya Bataras di seluruh Sabah, termasuk di Papar.
“Pelaksanaan kempen ini adalah antara citra komitmen pemain industri dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya melalui penawaran barangan keperluan pada harga lebih rendah.
“KPDN amat mengalu-alukan usaha ini sebagai ikhtiar bersama membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, inisiatif berkenaan juga selari dengan hasrat kerajaan untuk menggerakkan agenda kebersamaan semua pihak menerusi pendekatan seluruh negara atau whole-of-nation dalam menangani isu kos sara hidup.
Menurutnya, usaha seumpama itu wajar diperluaskan dan dicontohi lebih ramai pemain industri, termasuk dalam subsektor peruncitan lain.
“Kerjasama sebegini penting sebagai manifestasi tanggungjawab bersama dalam memelihara kesejahteraan rakyat, khususnya ketika kos sara hidup menjadi antara cabaran global,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan pelancaran Kempen Turun Harga Barangan Segar @ Bataras di Pasar Raya Bataras, Papar, hari ini.
Armizan yang mempunyai tugasan di Putrajaya tidak dapat hadir ke program berkenaan, manakala pelancaran disempurnakan ADUN Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengiran Saifuddin atas kesudian menyempurnakan pelancaran itu selain berterima kasih kepada Bataras Sdn Bhd atas komitmen melaksanakan inisiatif yang memberikan manfaat secara langsung kepada pengguna.
Terdahulu, Bataras Sdn Bhd yang mula bertapak di Sabah sejak 1998 kini mempunyai 58 rangkaian cawangan Pasar Raya Bataras di seluruh negeri.
Kempen yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 31 Oktober itu diharap dapat diteruskan dan diperluaskan sebagai sebahagian daripada usaha bersama membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.