Hilux terbabas sebelum terbalik di bahu Jalan Tenom, Kemabong

TENOM: Seorang lelaki berusia 61 tahun cedera selepas kenderaan Toyota Hilux yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di bahu jalan di Jalan Tenom-Kemabong, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.26 malam itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom menerima panggilan kecemasan sebelum tiba di lokasi pada jam 9.44 malam.

Ketua Balai BBP Tenom, PKPgB Mudi Pengiran berkata, kemalangan berkenaan membabitkan sebuah Toyota Hilux yang terbabas sendiri sebelum terbalik di bahu jalan.

“Seorang mangsa lelaki berusia 61 tahun terlibat dalam kejadian tersebut.

“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Tiada mangsa lain dilaporkan terbabit dalam kejadian berkenaan,” ujarnya.

Operasi yang membabitkan enam anggota BBP Tenom itu tamat sepenuhnya pada jam 10.10 malam selepas keadaan di lokasi kejadian dipastikan selamat.