Raptai terakhir Hari Kebangsaan Sabah lancar, 179 kontinjen siap beraksi

KOTA KINABALU: Selepas beberapa siri persiapan, raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah berjalan lancar hari ini, dengan 179 kontinjen melengkapkan persiapan terakhir sebelum perarakan sebenar berlangsung Isnin ini.

Mayor Bandar Raya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, perarakan dijangka bermula pada jam 7 pagi dan berakhir sekitar 10.30 pagi, dengan penyertaan pelbagai kontinjen bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan pada hari tersebut.

“Pada masa sama, orang ramai dan pelancong yang berada di sekitar Kota Kinabalu turut diseru hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri raptai penuh yang berlangsung di sini, hari ini.

Lebih istimewa, sambutan kedua, Hari Sabah turut diraikan pada malam 31 Ogos di lokasi sama, bermula jam 7.00 malam.

Dalam pada itu, orang ramai yang hadir dinasihatkan membuat persediaan sewajarnya berikutan keadaan cuaca panas dan berjerebu ketika ini, termasuk membawa bekalan air mineral yang mencukupi.

“Dan harapan saya sebagai mayor supaya botol mineral itu dibuang dalam tong sampah yang pihak dbkk sediakan nanti ya, sila jaga kebersihan,” tegasnya.

Lebih 50,000 orang dijangka membanjiri pusat bandar raya di sini, bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti.