KOTA KINABALU: Dua kanak-kanak ditemukan rentung manakala seorang lagi masih hilang selepas kira-kira 200 rumah setinggan atas air di tiga kampung terlibat dalam kebakaran di Kampung Numbak, di sini, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Mohd Hannis Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.40 pagi sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 1.54 pagi.
Menurutnya, kebakaran melibatkan rumah setinggan atas air jenis tidak kekal di Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama.
“Anggaran awal kebakaran melibatkan kira-kira 200 rumah dengan keluasan kawasan terjejas dianggarkan 260 x 380 kaki persegi.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 1,000 kaki dengan empat pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan sumber air terbuka iaitu laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hannis berkata, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.
Katanya, operasi pemadaman dan kerja-kerja ‘overhaul’ masih dijalankan selain usaha mencari seorang lagi kanak-kanak yang masih belum ditemui.
“Terdapat tiga orang kanak-kanak dilaporkan dikhuatiri hilang dalam kejadian tersebut.
“Dua mangsa telah berjaya ditemui rentung oleh pasukan bomba, manakala operasi pencarian bagi seorang lagi mangsa masih diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, jumlah sebenar rumah yang terlibat serta status mangsa masih dalam proses pengesahan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
“Kebakaran itu berjaya dikawal pada jam 6.26 pagi,” katanya
Operasi berkenaan membabitkan 44 anggota dari BBP Kota Kinabalu, BBP Lintas, BBP Penampang dan BBP Tuaran dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan.