KOTA KINABALU: Seluruh rakyat Sabah dijemput hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah (HKHS) 2026 yang bakal berlangsung di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens, pada 31 Ogos ini.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, sambutan berkenaan akan diadakan dalam dua sesi, iaitu sambutan Hari Kebangsaan pada sebelah pagi, manakala sambutan Hari Sabah berlangsung pada sebelah malam.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026 berkata, pelbagai pengisian dan persembahan menarik disediakan bagi memeriahkan sambutan berkenaan.
“Marilah kita bersama-sama hadir dan menyaksikan sambutan ini. Pelbagai pengisian serta persembahan menarik telah disediakan bagi menyemarakkan lagi suasana sambutan,” katanya.
Masidi berkata demikian ketika menghadiri raptai sambutan HKHS 2026 bagi meninjau persiapan serta memastikan perjalanan acara berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau berkata, sambutan berkenaan diharap dapat menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Sabah.
Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026 akan berlangsung sepanjang 31 Ogos ini dengan kedua-dua acara diadakan di lokasi sama, iaitu Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens.