KOTA KINABALU: Seorang lagi kanak-kanak yang sebelum ini dilaporkan masih hilang dalam kebakaran membabitkan kira-kira 200 rumah setinggan atas air di Kampung Lok Buta, di sini, disahkan rentung.
Perkembangan terbaharu itu menjadikan keseluruhan tiga kanak-kanak, terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki, disahkan rentung dalam kejadian yang berlaku awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Mohd Hannis Moktar berkata, ketiga-tiga mangsa disahkan rentung selepas pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.
“Mangsa tiga orang terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.
“Kesemua mangsa disahkan rentung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.40 pagi sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 1.54 pagi.
“Anggaran awal kebakaran melibatkan kira-kira 200 rumah dengan keluasan kawasan terjejas dianggarkan 260 x 380 kaki persegi.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 1,000 kaki dengan empat pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan sumber air terbuka iaitu laut,” katanya.
Mohd Hannis berkata, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran pada jam 6.26 pagi.
Katanya, operasi pemadaman dan kerja-kerja ‘overhaul’ turut dijalankan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat serta tiada lagi punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.
Sebelum ini, tiga kanak-kanak dilaporkan dikhuatiri hilang dalam kejadian itu, dengan dua mangsa terlebih dahulu ditemukan rentung.