Tujuh cedera kemalangan tiga kenderaan di Kimanis

KIMANIS: Tujuh individu termasuk tiga kanak-kanak cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Malawaring sebelum Simpang Kampung Nyaris-Nyaris, di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.32 petang sebelum enam anggota bersama sebuah LFRT dan sebuah Hilux dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.33 petang dan mendapati kemalangan membabitkan Toyota Innova, Perodua Myvi dan Perodua Kancil.

“Kesemua tujuh mangsa berjaya dikeluarkan dan dikenal pasti mengalami kecederaan dengan tahap berbeza.

“Lima mangsa dalam Toyota Innova membabitkan dua dewasa dan tiga kanak-kanak mengalami kecederaan ringan, manakala seorang wanita berusia 35 tahun dilaporkan terseliuh tangan kiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nelson berkata, kesemua lima mangsa berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Papar menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Seorang lelaki berusia 50 tahun yang berada dalam Perodua Kancil mengalami kecederaan di bahagian dada dan turut dihantar ke Hospital Papar.

“Manakala seorang lelaki berusia 61 tahun yang berada dalam Perodua Myvi dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba turut menjalankan kerja keselamatan dengan membuka terminal bateri ketiga-tiga kenderaan bagi mengelakkan risiko kebakaran.

“Pasukan turut membuat pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain yang boleh mengancam keselamatan.

“Keadaan kemudian disahkan selamat dan terkawal sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.14 petang,” katanya