50,000 rakyat banjiri Kota Kinabalu, semarakkan Hari Kebangsaan 2026

KOTA KINABALU: Kira-kira 50,000 rakyat membanjiri pusat bandar raya Kota Kinabalu seawal jam 6 pagi hari ini bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah 2026.

Kehadiran orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk keluarga bersama anak-anak, mewarnai sambutan dalam suasana penuh meriah dan semangat patriotik.

Sorakan dan tepukan gemuruh kedengaran setiap kali kontinjen melintasi laluan perarakan, dengan orang ramai turut mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan terhadap negara.

Sebanyak 179 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan, membabitkan pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat.

Pelbagai persembahan serta formasi menarik dipamerkan peserta perarakan, sekali gus menjadi antara tarikan utama sambutan dan mencerminkan kepelbagaian serta kreativiti masyarakat Sabah.

Kemeriahan sambutan turut menyaksikan rakyat daripada pelbagai kaum dan latar belakang berkumpul bersama bagi meraikan Hari Kebangsaan, sekali gus memperlihatkan semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi kekuatan masyarakat negeri ini.

Kehadiran puluhan ribu rakyat seawal pagi juga menggambarkan sambutan Hari Kebangsaan terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Lebih daripada sekadar acara tahunan, sambutan berkenaan menjadi wadah menyemai rasa cinta kepada negara, menghargai keamanan dan mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat.

Suasana penuh warna-warni itu turut memberikan peluang kepada ibu bapa untuk membawa anak masing-masing menghayati sendiri kemeriahan sambutan serta memahami erti kemerdekaan dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Haji Aman bersama Toh Puan Faridah Haji Tussin.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bersama Datin Seri Panglima Juliah Salag.