‘Urusan gajah sama gajah, yang penting rumah kita, kita jaga’ – Armizan

KOTA KINABALU: “Janganlah kita campur, urusan gajah sama gajah, yang penting rumah kita, kita jaga.”

Itu jawapan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hid up, Datuk Armizan Mohd Ali apabila sering ditanya mengenai situasi semasa Kerajaan Perpaduan-MADANI di Putrajaya.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, hakikatnya Malaysia adalah ‘rumah besar’ yang wajib dipelihara dan dibina bersama, tanpa mengira latar belakang parti, jawatan atau perbezaan politik.

Menurutnya, setiap warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap negara, termasuk pemimpin yang menerima mandat melalui sistem demokrasi berparlimen.

“Sungguhpun mendapat pendedahan langsung dalam sistem politik dan kerajaan seawal usai bergraduat dan memulakan kerjaya lebih 25 tahun lalu di beberapa kementerian, saya antara ‘orang baharu’ yang mendapat amanah dalam barisan Jemaah Menteri.

“Ditambah dengan kehadiran daripada sebuah ‘parti tempatan kecil’, saya banyak memilih untuk menggarap pengalaman dengan memerhati dari dekat, selain memfokuskan kepada tanggungjawab kementerian sendiri dan pastinya isu-isu berbangkit tentang Sabah,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kebangsaan, hari ini.

Armizan berkata, beliau secara jujur kagum dengan kematangan politik rakan-rakannya dalam Jemaah Menteri walaupun berlaku perbezaan pandangan dan ‘perang’ politik antara penggerak parti di luar Kabinet.

Katanya, hubungan serta interaksi pimpinan utama dalam setiap Mesyuarat Kabinet kekal harmoni, konstruktif dan profesional.

“Saya kagum kerana sekalipun di luar para penggerak parti saling ‘berbalas pantun bertikam lidah’ sejak beberapa bulan lalu, hubungan dan interaksi para pimpinan utama dalam setiap Mesyuarat Kabinet kekal harmoni, konstruktif dan profesional.

“Saya bersyukur kerana dapat melihat, belajar dan berada dalam suasana politik yang matang dan bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, kematangan berkenaan terbina atas kesedaran dan kebersamaan untuk membentuk konsensus perpaduan demi memastikan negara mempunyai kerajaan yang dapat memandu hala tuju pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Armizan berkata, kestabilan kerajaan amat penting bagi menyempurnakan amanah yang lahir daripada Perjanjian Persefahaman Kerjasama Kerajaan Perpaduan yang dimeterai pada 16 Disember 2022.

“Inilah landskap politik baharu negara yang perlu diterima pasca berakhirnya dominasi satu parti.

“Inilah masa untuk memaknai bicara kita sendiri bahawa peristiwa 2018 hingga 2022 dengan pertukaran tiga Perdana Menteri dan tiga saf Kabinet dalam satu penggal bukanlah formula yang baik untuk membina kemakmuran yang mampan untuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, hak politik individu dan parti perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab membina negara.

Katanya, nilai berkenaan penting bagi memandu kestabilan dalam dinamika landskap demokrasi dan politik Malaysia ketika ini serta masa akan datang.

Dalam pada itu, Armizan berkata, sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi wadah rakyat menzahirkan kebersamaan dalam mensyukuri nikmat kemerdekaan dan keamanan.

“Siapa juga kita; pimpinan, penjawat awam, komuniti peniaga dan penggerak masyarakat sivil serta sekalian rakyat, punyai peranan masing-masing dalam sistem kenegaraan.

“Tanah air ini adalah milik bersama setiap warganegara, dan pemilikan itu dimaknai dengan kedua-dua soal hak dan tanggungjawab,” katanya.