Jerebu: Kurangkan aktiviti sukan luar, kesihatan perlu diutamakan – Nizam

KOTA KINABALU: Keadaan jerebu yang menyebabkan kualiti udara di beberapa kawasan di Sabah berada pada tahap tidak sihat mendorong orang ramai, khususnya golongan berisiko, supaya mengurangkan aktiviti fizikal dan kegiatan di luar rumah.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, keadaan kualiti udara ketika ini perlu diberikan perhatian serius kerana bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) boleh berubah mengikut keadaan cuaca dan pergerakan angin.

Katanya, berdasarkan maklumat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, keadaan jerebu antara lain berpunca daripada asap tebal akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan yang dibawa tiupan angin ke wilayah Borneo, termasuk Sabah.

“Beberapa kawasan termasuk Tawau, Semporna dan Kota Kinabalu telah mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.

“Keadaan ini perlu diberikan perhatian serius, khususnya memandangkan bacaan IPU boleh berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan cuaca dan pergerakan angin,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai, terutama kanak-kanak, golongan belia, warga emas serta individu yang mempunyai masalah kesihatan dan pernafasan, supaya mengurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti luar sekiranya kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.

Dalam masa sama, Nizam turut memberi penekanan terhadap aktiviti sukan dan rekreasi yang lazimnya melibatkan kegiatan fizikal berintensiti tinggi di kawasan terbuka.

Beliau menyeru persatuan sukan, akademi, kelab, jurulatih dan penganjur program supaya sentiasa memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing sebelum meneruskan latihan atau aktiviti luar.

“Kesihatan dan keselamatan atlet, pemain serta peserta hendaklah menjadi keutamaan.

“Sekiranya keadaan tidak mengizinkan, aktiviti berintensiti tinggi di kawasan terbuka wajar dikurangkan, ditangguhkan atau dipindahkan ke lokasi tertutup yang bersesuaian,” katanya.

Selain mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan kualiti udara.

Beliau menegaskan sebarang kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran hendaklah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Nizam berkata, Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan akan terus mengikuti perkembangan kualiti udara semasa, selain berharap langkah pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan terus dipertingkatkan oleh agensi berkenaan.

Beliau turut menggesa masyarakat supaya memberikan kerjasama, mematuhi nasihat pihak berkuasa dan mendapatkan maklumat terkini mengenai bacaan IPU melalui saluran rasmi.

“Dalam keadaan kualiti udara yang berubah-ubah, orang ramai perlu sentiasa peka terhadap bacaan IPU dan menyesuaikan aktiviti harian demi menjaga kesihatan serta keselamatan,” jelasnya.