KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Polis Sabah CP Datuk Jauteh Dikun bersama barisan pimpinan baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
Jauteh berkata, kunjungan itu antara lain bertujuan memperkenalkan barisan pimpinan baharu PDRM Sabah kepada Ketua Menteri, selain memperkukuh hubungan dan kerjasama antara PDRM dengan kerajaan negeri.
Pertemuan itu turut menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai aspek keselamatan dan ketenteraman awam serta isu berkaitan kepentingan negeri dan rakyat.
Hajiji menyambut baik kunjungan berkenaan dan berharap hubungan serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan PDRM terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah sentiasa terpelihara.
Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Mohd Azhar Hamin; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, SAC Mohd Hafiz Yaacob; Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi Maklumat Sabah, ACP Wong Leong Meng; Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sabah, Supt Yampil Anak Garai; serta Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain.