LAHAD DATU: Tiga lelaki dewasa maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta Proton Aeroback yang dinaiki mereka dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter di Jalan Hutan Simpan Bagahak, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.38 malam.
Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Lahad Datu kemudian digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 8.16 malam, kira-kira 50 kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta Proton Aeroback yang dipercayai terbabas sendiri di selekoh jalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter.
“Terdapat tiga lelaki dewasa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumsoa berkata, mayat ketiga-tiga mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Seorang lagi lelaki dewasa yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 8.45 malam dan kembali ke balai,” katanya.