172 PATI warga Filipina diusir pulang ke negara asal

KOTA KINABALU: Seramai 172 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui program pemindahan tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah pada Rabu.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua tahanan terbabit dipindahkan dari Depot Imigresen Tawau melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina menggunakan kemudahan feri komersial.

Menurutnya, jumlah berkenaan terdiri daripada 129 lelaki dewasa, 25 wanita dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan berusia antara satu hingga 63 tahun.

“Kanak-kanak yang menyertai program ini turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini pada 1 September, Depot Imigresen Kota Kinabalu turut melaksanakan pemindahan seorang lelaki dewasa warga China melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dengan penerbangan terus ke Guangzhou, China.

Katanya, pada 27 Ogos lalu, Depot Imigresen Tawau melaksanakan pemindahan enam lelaki dewasa warga China melalui Lapangan Terbang Tawau dengan penerbangan terus ke Guangzhou.

“Pada tarikh sama, JIM Sabah turut melaksanakan pemindahan tujuh lelaki dewasa dari Depot Imigresen Kota Kinabalu melalui KKIA dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pemindahan itu membabitkan dua warga Pakistan ke Lahore, Pakistan, dua warga India ke Tiruchirappalli, India dan tiga warga Vietnam ke Ho Chi Minh, Vietnam,” katanya.

Beliau berkata, Depot Imigresen Papar turut melaksanakan pemindahan seorang lelaki dewasa warga India melalui KKIA dengan transit di KLIA untuk dihantar ke Tiruchirappalli pada tarikh sama.

Sitti Saleha berkata, sehingga Rabu, keseluruhan 4,947 tahanan PATI pelbagai kewarganegaraan telah dipindahkan ke negara asal.

“Daripada jumlah itu, 3,197 adalah warga Filipina, Indonesia (1,471), Pakistan (120), China (116), Vietnam (21) dan lain-lain kewarganegaraan (22).

“Kesemua tahanan PATI berkenaan telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan serta mempunyai dokumen perjalanan (TD) yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap persekitaran komuniti dan tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.

“Sebarang kegiatan berkaitan PATI boleh dilaporkan kepada JIM Sabah melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO),” katanya