Blok pentadbiran SK Panudahan musnah dalam kebakaran

KUDAT: Sebuah blok bangunan pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Panudahan di sini musnah sepenuhnya dalam kebakaran awal pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.21 pagi itu melibatkan bangunan jenis tidak kekal yang menempatkan bilik guru sekolah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Darickson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 46 kilometer dari balai.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.31 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah blok bangunan pentadbiran sekolah jenis tidak kekal berukuran kira-kira 40 kaki panjang dan 80 kaki lebar.

“Bangunan berkenaan terbakar 100 peratus, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan air daripada tangki jentera bomba serta sumber air terbuka dari kolam berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Darickson berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.03 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.31 pagi selepas pemeriksaan akhir dijalankan bagi memastikan keadaan di lokasi selamat.

Katanya, operasi berkenaan membabitkan seramai 11 anggota bomba dengan bantuan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini,” jelasnya.