PITAS: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika berada di Sungai Bengkoka, Kampung Pondoi, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, mangsa antara lima individu yang dilaporkan terlibat dalam kejadian itu, manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun hampir lemas.
Pengganti Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.17 petang sebelum sepasukan enam anggota dari BBP Pitas digerakkan ke lokasi.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 5.41 petang dan terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan bot NADMA dengan kaedah Surface Water Rescue.
“Operasi pencarian dijalankan di Sungai Bengkoka dalam radius sehingga satu kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun hanya ditemui pada jam 7.36 pagi tadi oleh penduduk kampung di Sungai Bengkoka, kira-kira satu kilometer dari PKB.
“Pasukan bomba membawa keluar mangsa menggunakan pengusung (stretcher) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh pihak polis dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Noor Jali berkata, dua lagi mangsa perempuan berusia empat dan 14 tahun yang hampir lemas turut dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Dua mangsa lain masing-masing perempuan berusia 18 tahun dan lelaki berusia 14 tahun dilaporkan selamat.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 8.25 pagi,” katanya.