KOTA KINABALU: Golongan muda perlu diberikan lebih banyak ruang dan peluang untuk menerajui gerakan koperasi, khususnya dalam membawa perubahan menerusi penguasaan teknologi, kemahiran baharu dan pendekatan pengurusan yang lebih dinamik.
Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Modal Insan (TKPPI), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Mohd Zaib Mat Yunus berkata, tenaga muda merupakan aset penting yang mampu membantu koperasi meningkatkan kecekapan pengurusan, mengembangkan perniagaan serta menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi.
Katanya, golongan muda perlu diberikan kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada penggerak perubahan dalam organisasi koperasi.
“Saya yakin dan percaya adanya golongan muda ini dapat membantu meningkatkan tahap kompetensi, tahap perniagaan koperasi dan juga tahap pengurusan itu sendiri yang akan membawa kepada kejayaan koperasi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Program Pemerkasaan Koperasi BELIA: Guru Muda Peneraju Koperasi Masa Hadapan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, di sini, hari ini.
Menurut Zaib, perkembangan teknologi membuka peluang besar kepada koperasi untuk memperluaskan pasaran, meningkatkan pendapatan serta mengurangkan kos operasi.
Katanya, golongan muda yang lebih dekat dengan teknologi boleh membantu memperkenalkan pemasaran dalam talian, kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) dalam operasi koperasi, termasuk dalam sektor pertanian.
“Tenaga muda inilah yang kita perlu lihat, kita perlu bangunkan dan lengkapkan mereka dengan ilmu yang sepatutnya.
“Golongan muda ini lebih mudah untuk kita terapkan teknologi dan ilmu supaya mereka dapat praktikkan dalam koperasi ataupun organisasi,” katanya.
Dalam usaha melahirkan lebih ramai generasi muda yang memahami gerakan koperasi, Zaib berkata IKMa memberi tumpuan terhadap pembangunan belia sejak 2025 menerusi program Graduan untuk Koperasi (G2K), dengan kerjasama lebih 10 institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menurutnya, graduan yang mempunyai pengetahuan mengenai koperasi berpotensi membantu organisasi mengurus dan mentadbir dengan lebih baik serta cekap.
Dalam pada itu, Zaib berkata kerjasama dengan IPG Kampus Gaya menjadi platform penting untuk menyemai pembudayaan koperasi dalam kalangan bakal guru.
Katanya, guru mempunyai peranan penting dalam memperkenalkan konsep koperasi kepada generasi muda di sekolah, sekali gus memastikan gerakan berkenaan terus berkembang.
Beliau turut berharap koperasi dapat menyediakan ekosistem kerja yang lebih sesuai dengan keperluan generasi muda, termasuk mempertimbangkan pendekatan kerja secara hibrid yang berpotensi mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti.
Zaib yakin, sekiranya golongan muda diberikan peluang, ilmu dan ruang untuk mengaplikasikan teknologi, mereka mampu menjadi pemangkin kepada gerakan koperasi yang lebih dinamik dan berdaya saing pada masa hadapan.