KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) menyokong penuh dan mengalu-alukan kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi menjayakan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, MINDET akan memberikan kerjasama dan sokongan penuh, termasuk menggalakkan penyertaan usahawan tempatan dalam karnival itu.
“Kita mengalu-alukan kerjasama ini dan akan memberikan sokongan penuh bagi menjayakan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia di Sabah. MINDET akan membantu membawa 50 usahawan tempatan untuk menyertai karnival ini.
“MINDET akan terus bekerjasama dengan KUSKOP untuk membangunkan usahawan-usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan KUSKOP yang diketuai oleh Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), di sini, kelmarin.
Antara yang dibincangkan ialah penganjuran Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia yang akan diadakan pada 23-25 Oktober ini di Kota Kinabalu serta pelaksanaan inisiatif-inisiatif KUSKOP di Sabah khususnya projek pembangunan premis Tamu Desa.
Ewon berkata, akses kepada pembiayaan masih menjadi antara cabaran utama usahawan tempatan yang perlu diberikan perhatian.
Sehubungan itu katanya, MINDET memperkenalkan dua inisiatif baharu di bawah agenda Sabah First, untuk memperkasa syarikat tempatan Sabah serta membantu mengurangkan kos pemain industri logistik.
Beliau berkata, inisiatif pertama melibatkan pengenalan pakej khas pajakan tanah kepada syarikat tempatan Sabah di taman-taman perindustrian.
Sementara itu, Datuk Mohamad Alamin berkata, dua lokasi sedang dipertimbangkan sebagai tapak penganjuran HPM iaitu Padang Merdeka atau Lintasan Deasoka, dan keputusan mengenainya akan dimuktamadkan selepas lawatan tapak.
“Karnival ini menyasarkan penyertaan 100 usahawan, masing-masing 50 usahawan di bawah KUSKOP dan 50 lagi daripada MINDET. Kita juga menyasarkan kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari karnival ini,” katanya.
Mohamad berkata, karnival itu bukan sekadar menyediakan ruang jualan kepada usahawan, tetapi turut memberi tumpuan kepada program padanan perniagaan bagi membantu mereka memperluas pasaran.
Menurutnya, Ketua Menteri Sabah telah dijemput dan bersetuju hadir bagi menyempurnakan majlis penutupan karnival pada 25 Oktober.
Mengenai Projek Tamu Desa yang diperkenalkan Ewon ketika menerajui KUSKOP sebelum ini, Mohamad berkata, program itu akan diteruskan bagi memperkasakan kegiatan ekonomi dan keusahawanan masyarakat luar bandar.
Projek Tamu Desa di Sabah telah mula dilaksanakan sejak tahun 2024. Sehingga Ogos 2026, sebanyak 134 Projek Tamu Desa telah siap dilaksanakan dan beroperasi di seluruh Sabah dengan peruntukan sebanyak RM30.6juta.
“Kita akan meneruskan agenda Tamu Desa. Saya juga telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian supaya program ini diteruskan dan, jika boleh, peruntukannya ditingkatkan,” katanya.
Mohamad berkata, KUSKOP akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Sabah, pihak berkuasa tempatan dan agensi negeri yang berpengalaman bagi memastikan pelaksanaan projek itu berjalan lancar.