133 PATI termasuk 27 kanak-kanak ditahan

KOTA KINABALU: Seramai 133 pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk 27 kanak-kanak, ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam 20 operasi penguatkuasaan di seluruh negeri.

Operasi yang dilaksanakan bermula 27 Ogos hingga 3 September lalu itu membabitkan pemeriksaan terhadap 289 individu di beberapa lokasi strategik.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, daripada jumlah yang ditahan, 97 adalah warga Filipina membabitkan 45 lelaki dewasa, 25 wanita dewasa, 18 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan.

“Turut ditahan ialah 32 warga Indonesia terdiri daripada 27 lelaki dewasa dan lima wanita dewasa serta empat lelaki warga Pakistan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan di lokasi strategik seluruh daerah bagi memastikan undang-undang imigresen dipatuhi.

Katanya, tindakan itu juga bagi membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.

“JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi strategik di seluruh daerah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI,” katanya.

Dalam pada itu, Sitti Saleha mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

Beliau turut meminta masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PATI melalui saluran rasmi JIM Sabah.

Aduan boleh dibuat menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) JIM.

JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan undang-undang imigresen dipatuhi serta membendung kehadiran PATI di negeri ini.