Seni, esports mampu bentuk jati diri anak muda

KOTA KINABALU: Seni dan sukan elektronik (esports) tidak seharusnya dilihat sekadar medium hiburan, sebaliknya boleh dimanfaatkan sebagai wadah membentuk identiti, disiplin dan jati diri generasi muda.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Sharip Zainal Sagkif Shek berkata, perkembangan dunia digital menuntut pendekatan baharu dalam usaha mendekati golongan belia, khususnya menerusi medium yang dekat dengan minat serta kehidupan mereka.

Menurutnya, kecenderungan anak muda terhadap dunia digital perlu dilihat sebagai satu peluang untuk membentuk kreativiti, daya saing, kemahiran komunikasi dan semangat kerja berpasukan.

“Minat anak muda terhadap esports dan dunia digital tidak seharusnya hanya dilihat sebagai hiburan, sebaliknya boleh dimanfaatkan sebagai ruang untuk membina disiplin, strategi, kreativiti dan jati diri yang lebih positif.

“Perubahan zaman menuntut pendekatan terhadap generasi muda turut berubah. Kita perlu memahami dunia mereka dan menggunakan ruang yang mereka minati sebagai medium untuk menyampaikan mesej yang positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perkongsian bertajuk ‘Seni dan Esports Nadi dan Jati Diri Anak Muda’ sempena Kejohanan E-Sport Skuad Antidadah Kota Kinabalu 2026, di sini.

Sharip berkata, pendekatan menggunakan esports juga mampu memperluaskan kaedah pencegahan penyalahgunaan dadah dengan membawa mesej berkenaan terus ke ruang yang menjadi sebahagian daripada kehidupan golongan muda.

Katanya, kejohanan sebegitu bukan sekadar menyediakan platform untuk peserta bersaing, malah membuka ruang kepada mereka membina jaringan sosial, mengasah strategi, berkomunikasi dan belajar bekerja sebagai satu pasukan.

“Usaha mendekati anak muda tidak semestinya dengan meminta mereka masuk ke dunia kita. Ada masanya kita perlu masuk ke dunia mereka, memahami bahasa mereka dan menggunakan ruang yang mereka minati untuk membina jati diri yang lebih kuat.

“Ini boleh menjadi salah satu pendekatan dalam usaha pembangunan belia dan pencegahan dadah yang lebih relevan dengan perkembangan semasa,” katanya.

Kejohanan itu mempertandingkan dua kategori utama iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan PUBG Mobile (PUBGM), dengan penyertaan akhir membabitkan 17 pasukan.

Program berkenaan diinspirasikan Pengerusi Skuad Antidadah Daerah Kota Kinabalu, Osman Johari sebagai pendekatan mendekati golongan muda menerusi medium yang dekat dengan kehidupan dan minat generasi digital.

Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi Skuad Antidadah Daerah Tawau, Rudhi Hariyanto Ghazali selaku wakil perasmi, selain turut dihadiri kepimpinan Skuad Antidadah dari daerah lain.

Dalam saingan MLBB, AE R CE muncul juara, manakala EL SAGA sebagai naib juara dan Wenez Esport di tempat ketiga. Anugerah Most Valuable Player (MVP) pula dimenangi Banimarung.

Bagi kategori PUBG Mobile, 7K dinobatkan sebagai juara, diikuti Starlite di tempat kedua dan 4 KRV di tempat ketiga.

Kejohanan menawarkan hadiah keseluruhan RM5,000 dengan RM2,500 diperuntukkan bagi setiap kategori.

Johan menerima RM1,000, naib johan RM800, tempat ketiga RM600 manakala MVP menerima RM100 bagi setiap kategori.