JKNS perkasa keselamatan makanan di Gunung Kinabalu

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memperkukuh kesedaran dan amalan keselamatan makanan di Gunung Kinabalu menerusi Program Ekspedisi Puncak Bersih Makanan Selamat Peringkat Negeri Sabah 2026.

Ketua Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNS, Datin Ts. Doreen Girik Anthony Gorotud, berkata program tiga hari bermula 2 hingga 4 September lalu itu memberi tumpuan kepada peningkatan pengetahuan serta pematuhan aspek kebersihan dalam kalangan pengendali makanan, malim gunung, porter dan pendaki.

Beliau berkata, program berkenaan turut memberi penekanan terhadap pematuhan piawaian kebersihan di premis makanan yang beroperasi pada altitud tinggi, khususnya sepanjang laluan pendakian Gunung Kinabalu.

“Antara aktiviti dilaksanakan termasuk bimbingan amali di dapur kepada pengendali makanan, sesi taklimat, hebahan maklumat keselamatan makanan serta rakaman video bagi mendokumentasikan amalan keselamatan makanan sepanjang ekspedisi.

“Pendekatan ini diharap dapat meningkatkan kesedaran semua pihak terhadap kepentingan pengendalian makanan yang bersih dan selamat, termasuk di kawasan altitud tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Doreen berkata, program itu turut diserikan dengan Pertandingan Explorace Keselamatan Makanan yang dianjurkan bersempena Kempen Hari Keselamatan Makanan Sedunia (WFSD) 2026.

Katanya, pertandingan berkenaan menjadi pendekatan interaktif dalam menyampaikan mesej kesihatan awam, selain memperluas pendidikan keselamatan makanan kepada komuniti di kawasan Gunung Kinabalu.

Sementara itu, beliau berkata, pemeriksaan premis makanan turut dilaksanakan bagi menilai kelayakan pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS).

“Hasil penilaian mendapati restoran Sutera Sanctuary Lodge dan Mountain Torq berjaya memenuhi semua kriteria ditetapkan dan menerima pengiktirafan BeSS.

“Pengiktirafan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada kedua-dua premis untuk terus mengekalkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang tinggi demi kesejahteraan pendaki serta pengunjung,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Taman-Taman Sabah dan Sutera Sanctuary Lodges atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.

Menurutnya, kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan pengendali premis makanan penting bagi memastikan aspek kesihatan awam serta keselamatan makanan sentiasa diberi keutamaan di Gunung Kinabalu.