KOTA KINABALU: Perselisihan faham dipercayai berpunca daripada urusan mendapatkan penumpang membawa kepada pergaduhan antara dua pekerja syarikat bas di Terminal Bas Inanam, di sini, yang tular di media sosial baru-baru ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.54 pagi, 5 September lalu, membabitkan dua lelaki masing-masing berusia 38 dan 37 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada hari yang sama.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki terbabit dipercayai bergaduh dan bertumbuk menggunakan tangan tanpa melibatkan sebarang senjata.
“Pemeriksaan awal mendapati kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, susulan laporan berkenaan, polis menahan kedua-dua lelaki itu kira-kira jam 2.30 petang pada 6 September lalu bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar,” katanya.
Dalam pada itu, Shahrudin menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam sekiranya berdepan sebarang perselisihan faham.
Katanya, sebarang masalah atau pertikaian hendaklah diselesaikan melalui saluran yang sewajarnya dan bukannya dengan tindakan yang boleh mencetuskan kekecohan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang boleh menjejaskan siasatan polis.