BELURAN: Kerajaan Sabah disaran menyediakan kemudahan air minuman bersih secara percuma di semua sekolah di negeri ini bagi memastikan keperluan asas murid, terutama di kawasan luar bandar dan pulau, sentiasa terjamin.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kemudahan berkenaan wajar diberi perhatian memandangkan terdapat murid yang berdepan kekangan kewangan untuk membeli minuman ketika berada di sekolah.
Menurutnya, ada ibu bapa yang hanya mampu memberikan wang saku sekitar RM3 kepada anak masing-masing untuk keperluan persekolahan.
“Kadang-kadang ibu bapa hanya memberi RM3 kepada anak. Untuk membeli nasi lemak dan mi goreng di sekolah pun sudah memerlukan perbelanjaan, jadi tidak banyak lagi yang tinggal untuk membeli air minuman.
“Ada juga murid yang membawa air dari rumah, tetapi bekalan itu kadang-kadang tidak mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja dan meninjau tapak pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balaban Jaya, di sini, hari ini.
James berkata, sekurang-kurangnya satu mesin air minuman bersih boleh disediakan di setiap sekolah bagi memastikan murid mempunyai akses kepada bekalan air, khususnya ketika cuaca panas.
“Kalau boleh, kita minta supaya perkara ini dilaksanakan di seluruh Sabah, melibatkan kira-kira 1,300 sekolah.
“Jika boleh, kita letakkan sekurang-kurangnya satu mesin air di setiap sekolah. Paling tidak, anak-anak kita mempunyai akses kepada air minuman dan bekalan air yang bersih, terutama mereka yang berada di kawasan pulau,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Sabah diharap dapat mengambil inisiatif menyediakan kemudahan itu sementara menunggu perkara berkaitan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dalam perkembangan sama, James turut meninjau perkembangan projek pembangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nangka dan SMK Balaban Jaya.
Katanya, projek pembinaan baharu blok bilik darjah modular Blok A dan C di SK Sungai Nangka yang diluluskan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) kini dalam proses pelantikan kontraktor dan dijangka bermula pertengahan September.
Sementara itu, projek pengubahsuaian dan naik taraf Blok B (USNT) yang dikendalikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beluran sedang dilaksanakan dan dijangka siap awal November depan.
“Selepas kedua-dua projek ini siap, kemudahan di SK Sungai Nangka akan digunakan untuk menempatkan murid SK Balaban Jaya pada sesi pagi, yang ketika ini beroperasi dari SK Pekan Beluran.
“SMK Balaban Jaya pula akan menggunakan kemudahan berkenaan pada sesi petang,” katanya.
Menurut James, pengoperasian dua sesi berkenaan membolehkan kemudahan sekolah dimanfaatkan secara optimum bagi memenuhi keperluan murid sekolah rendah dan menengah.
Beliau pada masa sama meminta KPM mempertimbangkan pembinaan kawasan parkir serta kuarters guru bagi membantu warga pendidik yang terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk ke sekolah.
Mengulas pembinaan SMK Balaban Jaya, James berkata projek berkenaan mengalami kelewatan kira-kira 5.6 peratus, antaranya disebabkan isu pembangunan tanah pada peringkat awal pelaksanaan.
Bagaimanapun, katanya, kerja pembinaan masih berjalan dan projek itu dijangka siap menjelang akhir 2027.
Beliau turut meminta KPM memastikan pembayaran kepada kontraktor dibuat mengikut jadual dan ketetapan bagi memastikan kerja pembinaan berjalan lancar serta mengelakkan kelewatan bayaran yang boleh menjejaskan kemajuan projek.
Pada masa sama, James memuji prestasi kontraktor yang disifatkannya baik dalam melaksanakan kerja pembinaan SMK Balaban Jaya.