Pembangunan Sabah perlu dipergiat di setiap daerah – Ketua Menteri

SEMPORNA: Pembangunan Sabah tidak hanya dilihat dari Kota Kinabalu atau bandar-bandar besar di negeri ini, tetapi perlu dipergiat di setiap daerah mengikut keperluan dan kekuatan masing-masing sebagai ruang untuk terus membangun dan berkembang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata pembangunan komersial di Jalan Bubul perlu dilihat sebagai sebahagian daripada perjalanan pembangunan Sabah, bukan hanya sebagai satu projek komersial.

Beliau berkata, Semporna mempunyai keistimewaan tersendiri dan namanya sudah berada di pentas dunia kerana keindahan pulau-pulau, kejernihan air laut serta tarikan pelancong khususnya bagi aktiviti menyelam.

“Semporna mempunyai aset semula jadi yang sangat bernilai. Namun, untuk memastikan potensi tersebut dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang lebih besar kepada rakyat, kita memerlukan pembangunan yang saling melengkapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran 106 Unit Kedai Dua Tingkat Fasa 1 dan Pecah Tanah Projek Komersil Fasa 2 dan 3 Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah di Jalan Bubul, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, sektor pelancongan perlu berkembang seiring dengan perkembangan perniagaan tempatan bagi mewujudkan peluang kepada usahawan tempatan, selain membuka peluang pekerjaan kepada anak muda Semporna dan memastikan masyarakat tempatan turut menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi.

Katanya, kedudukan strategik kawasan komersial Jalan Bubul di sepanjang laluan utama Balung-Semporna memberikan potensi untuk kawasan ini berkembang sebagai salah satu kawasan perdagangan dan perniagaan baharu.

“Saya percaya, jika dirancang dan dilaksanakan dengan baik, kawasan ini boleh menjadi salah satu pemangkin kepada perkembangan ekonomi di sekitar Semporna,” katanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama tetamu lain melakukan gimik perasmian Pelancaran 106 Unit Kedai 2-Tingkat, Fasa 1 dan Pecah Tanah Projek Komersil Fasa 2 & 3, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Jalan Bubul, Semporna, hari ini.

Hajiji berkata, kawasan pembangunan berkenaan juga mempunyai kelebihan kerana terdapat sungai dan berhampiran dengan laut, justeru beliau mencadangkan kepada Ampe (Semporna) Sdn. Bhd. supaya turut mempertimbangkan pembinaan sebuah jeti.

Katanya, jika ada jeti yang sesuai dan cantik, ia boleh memberikan nilai tambah dengan membolehkan orang ramai menikmati pemandangan sungai dan laut, bersantai, menikmati matahari terbenam serta mengambil gambar.

“Kita ingin manfaatkan keindahan yang Allah sudah berikan kepada Semporna ini sebaik-baiknya,” katanya.

Hajiji berkata, tahun ini merupakan permulaan kepada satu fasa baharu pembangunan Sabah melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) bagi tempoh 2026 hingga 2030, sebagai kesinambungan usaha yang dilaksanakan melalui SMJ 1.0.

Katanya, SMJ 2.0 disusun dengan matlamat melonjakkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi Sabah, di samping memastikan pembangunan yang dilaksanakan kekal inklusif dan mampan.

“Kita mahu Sabah yang ekonominya lebih pelbagai, lebih banyak memberi peluang kepada rakyat dan kita mahu modal insan yang lebih bersedia menghadapi ekonomi masa hadapan. Dan kita mahu pembangunan yang akhirnya meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus menyediakan persekitaran kondusif kepada pembangunan dengan memperkukuh infrastruktur, memperbaiki penyampaian perkhidmatan dan menarik pelaburan yang sesuai, selain bekerjasama dengan sektor swasta serta semua pihak berkepentingan.

Hajiji turut menegaskan pembangunan Sabah bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk sektor swasta, agensi pelaksana, usahawan dan rakyat.

“Kita tidak mahu Sabah hanya menjadi tempat pelaburan. Kita mahu anak Sabah menjadi sebahagian daripada pelaburan dan pertumbuhan itu,” katanya.

Beliau berkata, kemajuan mesti dirasai masyarakat di bandar dan luar bandar, usahawan besar dan kecil serta golongan muda dan generasi lebih berusia, sambil menegaskan kerajaan negeri akan terus memberikan perhatian kepada pembangunan setiap daerah kerana “tidak ada daerah yang terlalu jauh dan tidak ada potensi yang harus kita biarkan begitu sahaja.”