BEAUFORT: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan dalam kejadian di Jalan Kota Klias–Kampung Betandok, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan dipercayai dalam perjalanan dari Kampung Betandok menuju ke Kampung Kota Klias.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan berselekoh di lokasi kejadian.
“Akibat hilang kawalan, motosikal terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar besi penghadang.
“Mangsa kemudian tercampak dan terjatuh ke dalam parit di sebelah kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan beberapa anggota badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Beaufort.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor G/25131 Khairul Shazree Hashim di talian 010-2531451, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, Champin turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya meningkatkan tahap kewaspadaan ketika melalui laluan berselekoh.
Katanya, pengguna jalan raya juga perlu memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengurangkan risiko kemalangan.
“Langkah berkenaan penting bagi mengurangkan risiko kemalangan, khususnya di laluan yang memerlukan kawalan kenderaan yang lebih baik,” katanya.