KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memperkemas proses tapisan penghuni di penempatan Numbak bagi memastikan hanya keluarga yang benar-benar layak, terutama mangsa kebakaran, dibenarkan menduduki serta membina semula kediaman di kawasan berkenaan.
Mayor Bandar Raya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, langkah itu penting bagi memastikan penempatan semula mangsa kebakaran dapat dilaksanakan secara teratur, selain mengelakkan kawasan terbabit menjadi rebutan pihak yang tidak sepatutnya.
Menurutnya, DBKK kini menjalankan pemeriksaan dan pengukuran di kawasan berkenaan sebagai persediaan menyusun semula penempatan tersebut.
“Kita akan lihat senarai mereka yang terlibat dengan kebakaran dan senarai nama yang sepatutnya menduduki kawasan tersebut sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Lawatan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah Bersama Mangsa Bencana Kebakaran Penempatan Lok Buta, Kampung Numbak Sepanggar, di sini, hari ini.
Kebakaran baru-baru ini menyebabkan kira-kira 110 ketua isi rumah (KIR) kehilangan kediaman dan kini memerlukan perhatian lanjut kerajaan negeri serta DBKK.
Sabin berkata, penempatan itu pada asalnya disediakan untuk penduduk yang dipindahkan dari kawasan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan mereka dibenarkan mendirikan kediaman di situ.
Bagaimanapun, katanya, terdapat individu dari luar kawasan yang didakwa memasuki penempatan berkenaan dan membina rumah tanpa kebenaran DBKK.

“Kita sedang membuat persediaan. Kita telah membuat pemeriksaan dan juga mengambil tindakan untuk membuat pengukuran supaya tempat itu tidak menjadi rebutan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sebahagian mangsa masih mencari tempat tinggal, manakala sebahagian lagi menumpang sementara di kediaman saudara-mara.
DBKK turut menyalurkan bantuan tunai RM700 kepada setiap KIR, selain sumbangan daripada pihak Istana dalam bentuk wang tunai dan pakaian.
DBKK bersama kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada pengesahan kelayakan penerima serta penyusunan tapak bagi memastikan penempatan semula mangsa kebakaran dapat dilaksanakan secara teratur dan tidak menimbulkan pertikaian pada masa akan datang.