KPWKM siap sedia kaunseling keluarga mangsa nahas helikopter

SEMPORNA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersiap sedia menyediakan khidmat kaunseling serta sokongan psikologi kepada keluarga lima mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Baram, Sarawak, apabila diperlukan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, persediaan sudah dibuat bagi memastikan kaunselor yang ditugaskan benar-benar bersedia berdepan keadaan emosi keluarga mangsa yang sedang melalui saat sukar.

Bagaimanapun, katanya, keadaan ketika ini masih terlalu awal untuk khidmat berkenaan diberikan secara langsung kepada keluarga mangsa.

“Memang seperti biasa kami sudah bersiap sedia dari segi kaunseling. Sebab apabila kita nak memberikan kaunseling ini, kita sendiri perlu bersedia dengan apa yang kita nak cakap.

“Ini bukan perkara yang mudah kerana ia melibatkan nyawa dan keluarga dalam keadaan yang begitu hiba dan sedih. Jadi, menjadi kaunselor perlukan orang yang betul-betul memahami keadaan.

“Cuma begitu, apa yang kita lakukan, kita memang sudah bersiap siaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan di Semporna, anjuran KPWKM menerusi Jabatan Pembangunan Wanita, hari ini.

Nancy berkata, kementerian akan terus memantau keperluan keluarga mangsa dan bersedia memberikan sokongan psikologi serta kaunseling bagi membantu mereka menghadapi kesan emosi susulan tragedi berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 3.40 petang Selasa lalu, helikopter milik Layang-Layang Aerospace dilaporkan menghampiri landasan Lapangan Terbang Long Lellang dalam keadaan bahagian atasnya terbakar sebelum terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas.

Helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF itu membawa lima individu yang kesemuanya disahkan terkorban dalam nahas berkenaan.

Mangsa ialah juruterbang Layang-Layang Aerospace, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, dari Seremban, Negeri Sembilan; Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, dari Kota Bharu, Kelantan.

Turut terkorban dua Jururawat Masyarakat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44, serta Pembantu Pegawai Perubatan, Alexson Adit Henry, 31.

Identiti kesemua mangsa dikenal pasti pihak berkuasa menerusi pengecaman barangan peribadi yang ditemui pada jasad mereka.