KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan bersetuju secara prinsip untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak bagi memastikan nisbah perwakilan kedua-dua negeri itu meningkat berbanding kedudukan semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu antara perkara utama yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) 2026 di Kota Kinabalu, hari ini.
Menurutnya, penambahan kerusi berkenaan perlu mengambil kira semangat serta kedudukan Sabah dan Sarawak seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Keputusan kita adalah mesti menambah nisbah Sabah dan Sarawak. Penambahan Ahli Parlimen itu wewenang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Mungkin ada penambahan juga dari Semenanjung, penambahan dari Sabah dan Sarawak, tetapi penambahan ini tidak boleh menjejaskan prinsip nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak harus lebih tinggi daripada yang ada sekarang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MTPMA63, di sini, hari ini.
Anwar berkata, kedudukan semasa menyaksikan Sabah dan Sarawak mempunyai 56 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, namun jumlah itu masih belum mencerminkan nisbah seperti yang termaktub dalam konteks asal pembentukan Malaysia.
Katanya, pada 1963, dengan penyertaan Singapura, Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu, perwakilan Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk satu pertiga daripada keseluruhan kerusi.
“Dalam 1963 melibatkan Singapura adalah satu pertiga. Jadi sekarang kita lihat mekanisme.
“Prinsipnya mesti ada peningkatan yang akan meningkatkan nisbah perwakilan yang kita telah persetujui. Tetapi perincian dan mekanismenya perlu dibincangkan dengan SPR, negeri-negeri serta parti-parti berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, keputusan prinsip berhubung penambahan penyertaan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak itu telah dipersetujui Jemaah Menteri pada Rabu lalu.
Anwar berkata, beliau juga sudah memaklumkan keputusan berkenaan kepada SPR untuk tindakan lanjut termasuk memulakan rundingan berkaitan mekanisme penambahan kerusi.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan sama ada proses itu sempat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Saya fikir kalau untuk pilihan raya ini, saya tidak pasti boleh sempat atau tidak. Sebab kena muafakat, kemudian ada proses.
“Saya tidak mahu ganggu dari segi proses Perlembagaan, tetapi yang penting keputusan dibuat dan SPR telah dimaklumkan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar menegaskan isu pelaksanaan MA63 tidak seharusnya dilihat sebagai tuntutan sektoral Sabah dan Sarawak semata-mata, sebaliknya perlu menjadi komitmen nasional.
Beliau berkata, kerajaan mahu menjadikan MA63 sebagai sebahagian daripada naratif nasional bagi memastikan pelaksanaan perkara yang dipersetujui dalam pembentukan Malaysia terus diperkukuh.
“Ini adalah komitmen nasional, dasar nasional. Bila kita tambah umpamanya peruntukan ataupun perkara 112 ini kepada Sarawak dan Sabah, di Semenanjung jangan difikirkan ini satu pertimbangan khas kepada Sarawak. Tidak.
“National Policy, National Commitment and National Narrative,” katanya.