PM serah bantuan kepada 111 mangsa kebakaran Kampung Numbak

KOTA KINABALU: Seramai 111 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Numbak, di sini menerima bantuan daripada Kerajaan Persekutuan bagi meringankan beban mereka susulan kehilangan kediaman dan harta benda.

Bantuan itu diserahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan kunjungan dan menyantuni mangsa kebakaran di kawasan berkenaan.

Setiap KIR menerima bakul makanan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), selain bantuan khas kewangan berjumlah RM1,500 daripada Kerajaan Persekutuan.

Daripada jumlah itu, RM500 disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), manakala RM1,000 lagi disalurkan menerusi NADMA.

Kunjungan tersebut turut memberi peluang kepada Anwar bertemu secara langsung dengan mangsa serta bertanya khabar mengenai keadaan mereka selepas kejadian yang menyebabkan mereka kehilangan tempat tinggal.

Beliau turut mendengar sendiri keperluan dan keadaan semasa mangsa, termasuk perkara berkaitan proses pemulihan serta bentuk bantuan yang diperlukan.

Penyerahan bantuan itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap kebajikan mangsa bencana, terutama dalam memastikan keperluan asas mereka terus terbela sepanjang tempoh pemulihan.

Lawatan berkenaan menjadi antara pengisian akhir kunjungan Perdana Menteri ke Kampung Numbak bagi melihat sendiri keadaan mangsa yang terjejas akibat kebakaran.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini turut memberi perhatian terhadap usaha pemulihan mangsa bagi memastikan mereka tidak berdepan kesukaran berpanjangan selepas kehilangan kediaman dan harta benda akibat tragedi berkenaan.