Bekas ADUN Bongawan, Datuk Karim Bujang meninggal dunia

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Karim Bujang, meninggal dunia pada tengah hari tadi, pada usia 73 tahun.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Sipanggil, Putatan, di sini.

Karim adalah antara tokoh politik veteran Sabah yang pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat Bongawan selama lima penggal, bermula 1990 hingga 2013.

Sepanjang penglibatannya dalam pentadbiran negeri, Allahyarham turut pernah dilantik sebagai Pembantu Menteri dalam Kabinet Sabah.

Karim antara individu yang dilantik sebagai Pembantu Menteri berkuat kuasa pada 27 Mac 2004.

Karim memulakan kerjaya politiknya di peringkat negeri selepas memenangi kerusi DUN Bongawan pada 1990 atas tiket Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Beliau kemudian menyertai UMNO dan terus mempertahankan kerusi berkenaan sehingga 2008.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013, Karim tidak dicalonkan semula di Bongawan, sebaliknya kerusi itu ditandingi Datuk Mohamad Alamin bagi mewakili Barisan Nasional (BN).

Selepas itu, Karim menyertai Parti Warisan (Warisan) dan kembali bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen Kimanis pada 2018.

Beliau tewas tipis kepada Tan Sri Anifah Aman yang ketika itu bertanding atas tiket BN dengan majoriti 156 undi.

Karim kemudian mencabar keputusan berkenaan melalui petisyen pilihan raya dan sekali lagi diberi kepercayaan Warisan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Januari 2020 selepas keputusan PRU14 bagi kerusi itu dibatalkan mahkamah.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi tewas kepada calon BN, Mohamad Alamin.

Dalam perkembangan terakhir perjalanan politiknya, Karim mengumumkan keluar daripada Warisan sebelum menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Mac 2024.

Pemergian Allahyarham menandakan berakhirnya perjalanan panjang seorang tokoh politik yang pernah melalui beberapa perubahan landskap politik Sabah sepanjang lebih tiga dekad penglibiatan beliau dalam politik negeri.