PAPAR: Seramai 21 penumpang sebuah bas persiaran berdepan detik cemas apabila kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan ketika menuruni bukit di Jalan Bukit Kimanis-Keningau, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.34 petang itu, lima penumpang warga emas dilaporkan mengalami kecederaan parah, manakala 16 lagi mengalami kecederaan ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi talian NG999 sebelum anggota dari BBP Kimanis dan BBP Papar digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, sepasukan lapan anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) tiba di lokasi kira-kira jam 1.58 tengah hari.
“Setibanya di lokasi, didapati benar berlaku kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 21 penumpang.
“Lima mangsa dilaporkan tersepit di dalam bas, namun berjaya dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan diberikan rawatan awal oleh anggota bomba dengan bantuan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Antara mangsa yang cedera parah ialah tiga wanita berusia 60, 61 dan 66 tahun serta dua lelaki berusia 64 dan 71 tahun.
“Mereka mengalami kecederaan termasuk di bahagian kepala, dada dan muka selain patah kaki, tangan serta jari,”katanya
Nelson berkata, semua mangsa yang cedera parah kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, kesemua mangsa merupakan rakyat Malaysia dan bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Wilayah Persekutuan Labuan.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.55 petang selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi selamat,” katanya