Sabah perkukuh kesiapsiagaan bencana menerusi rangkaian radio amatur

PAPAR: Sabah terus memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana menerusi penggunaan rangkaian radio amatur sebagai sistem komunikasi alternatif bagi memastikan penyelarasan operasi bantuan tidak terjejas sekiranya rangkaian telekomunikasi utama terputus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, komunikasi merupakan aspek penting dalam pengurusan bencana kerana gangguan bekalan elektrik atau kerosakan infrastruktur boleh menyebabkan perkhidmatan internet dan telefon mudah alih terputus.

Menurutnya, dalam keadaan itu, radio amatur berperanan sebagai saluran komunikasi alternatif untuk memastikan penyampaian maklumat kecemasan, penyelarasan bantuan makanan serta pengenalpastian keperluan penduduk di kawasan terjejas dapat diteruskan.

“Kepentingan sistem komunikasi alternatif itu terbukti menerusi kejadian banjir dan tanah runtuh di Papar pada September 2025 yang menyebabkan 105 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas, empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan lima kematian dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana: Radio Amatur sebagai Komunikasi Alternatif Peringkat Negeri Sabah 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di sini, hari ini.

Armizan berkata, gangguan jalan perhubungan, bekalan elektrik serta perkhidmatan telefon ketika kejadian turut menyukarkan komunikasi dan operasi menyelamat di beberapa kawasan terjejas.

Susulan itu, frekuensi 7.110 MHz diaktifkan pada 15 September 2025 bagi menyokong komunikasi kecemasan di Papar.

Beliau berkata, Sabah ketika ini mempunyai 1,313 callsign radio amatur aktif serta 18 kemudahan stesen pengulang (repeater), termasuk stesen repeater Bukit Pohumpung yang dibangunkan oleh Kelab Radio Amatur Papar (PARC).

Sebagai sebahagian daripada program itu, simulasi komunikasi bencana turut dilaksanakan dengan menghubungkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Pejabat Daerah Papar, Kampung Kaiduan dan stesen repeater Bukit Pohumpung bagi menguji keberkesanan rangkaian komunikasi alternatif.

Armizan berkata, kerjasama antara komuniti radio amatur dengan agensi berkaitan perlu diteruskan menerusi latihan dan simulasi berkala bagi memperkemas penyelarasan serta mempercepatkan tindak balas ketika kecemasan.

Katanya, kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya bergantung kepada penyediaan bantuan dan infrastruktur, malah turut memerlukan sistem komunikasi yang berfungsi bagi memastikan tindakan semua pihak dapat diselaraskan dengan berkesan.

Program berkenaan menghimpunkan 10 kelab radio amatur di Sabah bersama agensi kerajaan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Turut terlibat ialah Pejabat Daerah Papar, Pejabat Kesihatan Daerah Papar, syarikat telekomunikasi dan Sabah Electricity (SE).