SANDAKAN: Seorang lelaki warga Filipina ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan samun berkumpulan menggunakan senjata tajam di kawasan Batu 3, di sini, yang mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM1,300.
Suspek berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 pagi menerusi Op Sentap di kawasan setinggan belakang Bandar Letat Jaya, Batu 3, Jalan Lintas Utara, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan dan rampasan sebilah pisau sepanjang 27 sentimeter bersarung merah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek disyaki terbabit dalam kejadian samun berkumpulan menggunakan senjata tajam yang dilaporkan pada 1 Jun lalu.
“Hasil soal siasat awal, suspek turut dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes jenayah lain di sekitar daerah ini.
“Suspek juga mempunyai satu rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
George berkata, kejayaan tangkapan itu membuktikan komitmen dan kesungguhan polis dalam membanteras kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat terus terpelihara.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiatkan usaha membanteras jenayah demi menjamin keselamatan orang ramai.