KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengalu-alukan usaha memperkukuh kerjasama politik dengan UMNO Sabah bagi memastikan kestabilan politik serta kelancaran pentadbiran dan pembangunan negeri.
Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Mohd Razali Razi berkata, kerjasama sedia ada antara GRS, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan rakan-rakan lain dalam Kerajaan Negeri Sabah penting untuk mengekalkan kestabilan berkenaan.
Menurutnya, GRS akan terus memelihara hubungan dengan semua rakan kerjasama atas dasar kepercayaan dan sikap saling menghormati.
Beliau berkata, keberkesanan kerjasama politik itu dapat dilihat menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Januari lalu apabila kesepaduan jentera parti membantu memastikan kemenangan dengan majoriti besar di kedua-dua kerusi berkenaan.
“Keputusan itu menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila semua pihak bekerja bersama atas dasar persefahaman,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi dan Setiausaha Politik kepada Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi berhubung usaha memperkukuh kerjasama politik dengan GRS.
Tambah beliau, kerjasama yang kukuh juga membolehkan kerajaan negeri terus memberi keutamaan kepada agenda pembangunan Sabah, selain memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mempertahankan hak negeri dalam Persekutuan Malaysia demi kepentingan rakyat.