Dua kontraktor berdepan 22 pertuduhan kemuka dokumen tuntutan LPG palsu di Tawau

TAWAU: Dua kontraktor berdepan 22 pertuduhan mengemukakan dokumen tuntutan mengandungi butiran matan palsu membabitkan pembekalan dan pengedaran gas petroleum cecair (LPG) bagi Program Penyeragaman Harga, antara 2021 hingga 2023.

Kedua-dua tertuduh, Mohd Zikri Sundu, 50, dan Mohdichsan Abd Muis, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama dan dengan pengetahuan memberikan dokumen tuntutan perkhidmatan membekal serta mengedar LPG bagi Program Penyeragaman Harga kepada seorang ejen kerajaan, iaitu Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tawau.

Dokumen tuntutan itu membabitkan perkhidmatan pembekalan dan pengedaran LPG bagi tempoh Mei 2021 hingga Mei 2023.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat KPDN Cawangan Tawau dalam daerah Tawau, Sabah antara 5 Jun 2021 hingga 1 Mei 2023.

Dokumen berkenaan didakwa mengandungi butiran matan palsu berhubung kuantiti LPG yang dihantar ke pusat jualan (POS) di kawasan luar bandar dan pedalaman, iaitu sebanyak 33,284 tong.

Bagaimanapun, kuantiti sebenar LPG yang dihantar bagi tempoh berkenaan didakwa hanya 28,072 tong, sekali gus menunjukkan perbezaan sebanyak 5,212 tong.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran matan palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin tempatan bagi setiap tertuduh.

Antara syarat jaminan dikenakan ialah kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali, tidak mengganggu saksi atau menghalang perjalanan kes pendakwaan sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 14 Januari 2027 untuk pengurusan kes praperbicaraan (PTCM), manakala perbicaraan penuh dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Februari 2027.

Pendakwaan dikendalikan Norsham Saharom, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Abdul Ghani Zelika.