SEMPORNA: Seramai 12 individu yang berpakaian menyerupai wanita ditahan dalam satu operasi bersepadu ketika dipercayai berlangsungnya pertandingan ratu pondan di Kampung Hidayat 2, Pulau Bum-Bum, di sini.
Operasi yang diketuai Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Semporna, Mohd Juseph Ahmad Kapala itu turut disertai lima pegawai JHEAINS dengan bantuan 11 anggota polis berpangkat Lans Koperal.
Mohd Juseph berkata, operasi berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama antara JHEAINS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan penguatkuasaan undang-undang berkaitan.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi membawa kepada penahanan 12 individu yang didapati berpakaian menyerupai wanita.
“Selain penahanan individu terbabit, pihak operasi turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penganjuran pertandingan berkenaan.
“Antara barangan dirampas termasuk piala, sijil, hamper dan beberapa barangan lain,” katanya.
Beliau berkata, operasi bersepadu itu mencerminkan kerjasama antara agensi penguat kuasa dalam memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang berkuat kuasa.
Bagaimanapun, katanya, maklumat lanjut berhubung tindakan susulan terhadap individu yang ditahan belum diperincikan.