Dua laporan polis diterima berhubung konsert Israel & New Breed di Sabah – Jauteh

KOTA KINABALU: Polis Sabah menerima dua laporan polis berhubung penganjuran konsert Israel & New Breed yang dijadual berlangsung di Kota Kinabalu, Oktober ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya mengambil perhatian terhadap reaksi dan kegusaran masyarakat berhubung penganjuran konsert berkenaan yang diwar-warkan secara meluas di media sosial.

“Setakat ini ada dua laporan polis yang kita terima. Kita akan terus membuat pemantauan dan mengambil keterangan daripada pihak-pihak tertentu berkaitan dengan konsert ini.

“Kita juga menasihatkan mereka supaya mengambil perhatian serius terhadap sensitiviti dalam kalangan masyarakat pada masa kini,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Jauteh berkata, setakat ini PDRM belum menerima permohonan daripada kerajaan negeri untuk mendapatkan pandangan berhubung penganjuran konsert berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri juga dimaklumkan belum menerima permohonan rasmi daripada penganjur, walaupun maklumat mengenai tarikh, lokasi dan harga tiket sudah tersebar di media sosial.

Menurutnya, sekiranya permohonan rasmi diterima, kerajaan negeri boleh mendapatkan pandangan PDRM sebelum membuat keputusan terhadap penganjuran konsert berkenaan.

“Memandangkan keadaan sensitiviti sekarang, kita akan menasihati supaya konsert ini tidak diadakan dahulu.

“Kita menasihati kerajaan negeri yang menerima permohonan ini untuk membuat keputusan dan pemakluman kepada pihak pemohon,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang seksyen siasatan dibuka berhubung isu berkenaan.

“Tindakan yang kita boleh buat adalah memberikan nasihat berdasarkan reaksi masyarakat dalam media sosial dan keadaan semasa,” katanya.

Jauteh berkata, polis turut mengambil kira reaksi masyarakat yang antara lain dikaitkan dengan kekeliruan mengenai nama artis serta dakwaan mengenai pendirian artis berkenaan terhadap Israel.

Bagaimanapun, katanya, perkara utama yang diberi perhatian PDRM adalah aspek sensitiviti masyarakat dan ketenteraman awam.

“Yang penting di sini adalah kita melihat kepada sensitiviti masyarakat dan ketenteraman masyarakat.

“Kita akan berusaha memastikan mana-mana sensitiviti yang boleh menimbulkan sesuatu yang menyebabkan ketenteraman tergugat, maka kita akan mengambil tindakan bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata, PDRM akan terus memantau perkembangan berkaitan dan memastikan setiap lapisan masyarakat berasa selamat serta sebarang tindakan diambil berdasarkan keadaan semasa.