Wanita direman 4 hari, pecah amanah hasil jualan mutiara RM2,120.00

TAWAU: Seorang wanita direman empat hari bagi membantu siasatan kes pecah amanah membabitkan wang hasil jualan berjumlah RM2,120 di sebuah kedai pemborong mutiara di daerah ini, Oktober lalu.

Perintah reman terhadap wanita berusia 22 tahun yang juga bekas pembantu kedai itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Permohonan reman dikemukakan Pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Siti Dayana Adillah.

Reman bermula hari ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan keterangan kes semasa permohonan reman yang di kemukakan di mahkamah pagi ini, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota BSJK, IPD Tawau, semalam.

Siasatan awal mendapati kes itu terbongkar selepas pihak pengurusan syarikat menjalankan audit dalaman pada 13 Oktober lalu sebelum mengesan wang hasil jualan barangan tidak dimasukkan ke dalam akaun bank syarikat.

Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat resit pembelian pelanggan yang menunjukkan bayaran bagi transaksi berkenaan dipercayai dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi suspek.

Suspek yang bertanggungjawab menguruskan hasil jual beli di premis berkenaan turut didakwa membuat pengakuan secara lisan kepada pihak syarikat bahawa wang berkenaan diambil untuk kegunaan peribadi.

Susulan penemuan itu, pihak syarikat membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan manakala suspek telah dipecat.