Empat remaja perempuan hilang dalam kejadian berasingan di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Empat remaja perempuan berusia antara 14 hingga 17 tahun dilaporkan hilang dalam kejadian berasingan di sekitar daerah ini sejak 22 Oktober lalu.

Menurut hebahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini, remaja pertama yang dilaporkan hilang ialah Lorna Palmani, 17, dari Kampung Numbak, One Borneo, Menggatal pada 22 Oktober 2026.

Tiga lagi remaja yang dilaporkan hilang ialah Olivia Jeffrey, 16, dari Taman Richdar, Menggatal pada 7 November, Nadyana Albaser, 16, dari Kampung Warisan Kalansanan, Inanam pada 8 November, dan Farha Nabila Abdullah, 14, dari Kampung Sinulihan, Inanam pada 9 November.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan kesemua remaja berkenaan diminta tampil membantu pihak polis.

“Maklumat boleh disalurkan terus kepada IPD Kota Kinabalu menerusi talian 088-529222 atau dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai berkongsi hebahan kehilangan berkenaan bagi meluaskan penyebaran maklumat sekali gus membantu mempercepatkan usaha mengesan keempat-empat remaja terbabit.