Hajiji zahir penghargaan komitmen petugas Sabah Electricity siapkan ERS lebih awal

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Sabah Electricity(SE) atas komitmen mereka berjaya menyiapkan pembinaan Emergency Restoration System (ERS) bagi pemulihan talian penghantaran elektrik yang terjejas di Pantai Timur Sabah lebih awal daripada jadual ditetapkan.

Beliau berkata, pasukan Sabah Electricity turut berjaya menyambungkan kesemua konduktor bagi kerja-kerja pemulihan talian penghantaran elektrik berkenaan.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa pasukan Sabah Electricity telah berjaya menyiapkan pembinaan Emergency Restoration System (ERS) serta menyambung kesemua konduktor bagi kerja-kerja pemulihan talian penghantaran elektrik yang terjejas di Pantai Timur Sabah.

“Lebih penting, kerja-kerja tersebut berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan pihak yang terlibat membantu usaha pemulihan itu, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Sabah Air Aviation Sdn Bhd.

Turut menerima penghargaan ialah pihak pengurusan SK Sagindai Baru dan Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah atas segala bantuan, kerjasama serta sokongan yang diberikan.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri memahami kesulitan yang dialami rakyat sepanjang tempoh gangguan bekalan elektrik itu dan berterima kasih atas kesabaran serta kerjasama mereka sepanjang usaha pemulihan dilaksanakan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Sabah Electricity bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah lebih stabil, selamat dan boleh dipercayai demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri.