PENAMPANG: Polis berjaya menyelesaikan kes pembunuhan seorang lelaki berusia 24 tahun di Putatan selepas menahan dua lelaki tempatan dalam tempoh kurang enam jam, hari ini.
Kedua-dua suspek berusia 30 dan 45 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan bantuan anggota Balai Polis Putatan di Kampung Dumpil, Putatan, kira-kira jam 6.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, penahanan itu dilakukan bagi membantu siasatan kes pembunuhan mangsa yang dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah premis perniagaan di Putatan, semalam.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada awal pagi keesokan harinya.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 26 November hingga 2 Disember ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Bagaimanapun, motif kejadian dan punca kematian mangsa masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Sehubungan itu, katanya, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi IPD Penampang atau tampil ke balai polis berhampiran.
Sammy turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi memastikan siasatan berjalan lancar.