KOTA KINABALU: Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah menafikan dakwaan yang disebarkan menerusi platform TikTok bahawa beliau melantik Sharinaz Sabin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kinabalu Venture, yang didakwa sebagai anak syarikat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Dalam satu kenyataan beliau memaklumkan bahawa beliau tidak pernah melantik Sharinaz Sabin ke jawatan berkenaan, selain menjelaskan bahawa Kinabalu Venture juga bukan anak syarikat DBKK.
“Oleh itu, dakwaan yang mengaitkan pelantikan
tersebut dengan Mayor serta kedudukan syarikat berkenaan dengan DBKK adalah palsu dan fitnah.
“Penyebaran dakwaan tersebut merupakan serangan terhadap reputasi dan integriti Mayor serta boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan keyakinan awam terhadap pentadbiran DBKK.
“Laporan polis telah dibuat berhubung perkara ini untuk siasatan dan tindakan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.
Pihak DBKK turut memandang serius penyebaran maklumat palsu dan berunsur fitnah yang mengaitkan Mayor, ahli keluarganya serta DBKK.
Tambahnya, tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap pemilik atau pengendali akaun yang bertanggungjawab bagi menuntut ganti rugi atau remedi yang wajar selepas identiti serta penglibatan pihak berkenaan disahkan.
Dalam pada itu, DBKK mengingatkan masyarakat supaya menyemak sebarang maklumat berkaitan urusan rasmi pihak berkuasa tempatan itu menerusi saluran komunikasi rasmi DBKK sebelum menerima atau menyebarkannya.
“DBKK kekal komited terhadap prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat,”tambahnya.
Semalam, satu hantaran di TikTok mendakwa Sabin telah melantik anaknya, Sharinaz Sabin, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kinabalu Venture, selain mendakwa syarikat berkenaan merupakan anak syarikat DBKK yang menjalankan inisiatif “Jual Kereta Rakyat”.