KOTA KINABALU: Dua kenderaan dihempap pokok tumbang dalam kejadian di hadapan Masjid Bandaran Kota Kinabalu, malam tadi.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, PKPgB Mohd Hannis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.27 malam sebelum pasukan tiba di lokasi lapan minit kemudian.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan dan mendapati tiada mangsa terperangkap dalam kedua-dua kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.
Beliau berkata, pokok berkenaan menghempap sebuah Perodua Myvi dan Perodua Viva yang berada di lokasi kejadian.
Tambahnya, kerja-kerja memotong pokok dijalankan menggunakan gergaji berantai dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selepas pihak Sabah Electricity tiba di lokasi dan melaksanakan pemotongan bekalan elektrik.
“Bagaimanapun, kerja-kerja memotong pokok yang menghempap Perodua Viva tidak dapat dijalankan selepas pemeriksaan mendapati terdapat wayar elektrik yang dipercayai bukan milik Sabah Electricity Sdn Bhd terkena pada kenderaan berkenaan.
“Perkara itu telah dimaklumkan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk tindakan lanjut,” ujar beliau.
Sementara itu, kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok yang menghalang laluan serta menghempap Perodua Myvi berjaya diselesaikan pada jam 1.56 pagi.
Operasi ditamatkan selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.