Pelancong China maut selepas snorkeling di Pulau Pom Pom

SEMPORNA: Seorang pelancong wanita warga China berusia 66 tahun meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti snorkeling di perairan Pulau Pom Pom, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika mangsa yang berasal dari Yunnan itu menjalankan aktiviti berkenaan bersama ahli keluarganya.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa mengadu berasa tidak selesa sebelum meminta dibawa naik ke atas bot.

“Bagaimanapun, sebaik berada di atas bot, mangsa didapati sudah tidak sedarkan diri sebelum bantuan pernafasan (CPR) diberikan.

“Tiada tindak balas diterima daripada mangsa sebelum dia dibawa ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tan berkata, pemeriksaan doktor di Wad Kecemasan Hospital Semporna kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Beliau berkata, mangsa mempunyai sejarah penyakit asma sejak kira-kira 10 tahun lalu.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden ini,” katanya.

Sehubungan itu, Tan menasihatkan pengusaha pelancongan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan pelancong, terutama ketika menjalankan aktiviti rekreasi air.

Beliau turut meminta saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852,” katanya