BEAUFORT: Seramai 819 penduduk di daerah ini menerima geran tanah masing-masing menerusi dua siri penyerahan yang dilaksanakan kerajaan, membabitkan keluasan keseluruhan hampir 2,000 hektar.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Datu Isnin Aliasnih berkata, penyerahan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat hak pemilikan tanah.
Menurutnya, sebanyak 247 geran tanah diserahkan dalam siri terbaharu, manakala 572 geran lagi telah diserahkan menerusi siri terdahulu.
“Secara keseluruhannya, 819 geran tanah itu membabitkan keluasan hampir 2,000 hektar dan memberi manfaat kepada penduduk di daerah Beaufort,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penutupan Festival Bagandang Peringkat Daerah Beaufort 2026.
Isnin berkata, kerajaan negeri komited memastikan setiap permohonan tanah rakyat yang memenuhi syarat terus diproses bagi membolehkan pemohon memperoleh hak pemilikan masing-masing.
Katanya, proses berkenaan dilaksanakan secara berterusan meskipun tidak semua usaha kerajaan mendapat perhatian umum.
“Tiada cerita kerajaan tidak memberikan tanah kepada rakyat atau tidak melaksanakan tugas. Kita mungkin tidak banyak bercakap, tetapi kita terus bekerja dan memastikan geran tanah dapat diserahkan kepada rakyat yang memohon,” ujarnya.
Beliau berkata, bagi memastikan proses itu berjalan lancar, Mesyuarat Tindakan Tanah Daerah turut diadakan sebanyak empat kali setahun untuk meneliti dan memantau perkembangan setiap permohonan.
Menurutnya, menerusi mesyuarat berkenaan, permohonan tanah akan disemak dan diproses secara berperingkat bagi memastikan permohonan yang layak tidak tercicir daripada perhatian pihak berkaitan.
“Kita mengadakan mesyuarat tindakan tanah daerah empat kali setahun. Setiap permohonan akan diproses dan kita akan pastikan permohonan rakyat tidak terlepas daripada perhatian untuk diserahkan kepada mereka,” jelasnya.
Beliau menegaskan usaha itu akan diteruskan bagi membuka lebih banyak peluang kepada penduduk mendapatkan hak pemilikan tanah sekali gus memberikan kepastian terhadap status tanah masing-masing.