Pesta Gong platform angkat khazanah tradisional Sabah

MATUNGGONG: Pesta Gong menjadi platform untuk mengangkat khazanah tradisional Sabah serta memperkenalkan keunikan budaya masyarakatnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, penganjuran pesta itu merupakan usaha penting untuk memelihara dan memartabatkan seni gong agar tidak luput ditelan zaman.

“Pesta Gong bukan sekadar acara kebudayaan tetapi merupakan platform untuk mengangkat khazanah tradisional Sabah, memperkenalkan keunikan budaya masyarakatnya serta memupuk perpaduan.

“Melalui platform ini, generasi muda dapat mengenali, mempelajari dan menghargai warisan budaya mereka.

“Seni muzik dan pembuatan gong juga mencerminkan kreativiti, kemahiran serta nilai kehidupan yang diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya.

“Usaha ini selaras dengan tema Pesta Gong kali ini iaitu Gema Gong, Semarak Budaya yang mana Gong melambangkan warisan, kebanggaan dan identiti masyarakat manakala Semarak menyeru kita mengekalkan tradisi, menghargai kepelbagaian serta warisan khazanah ini kepada generasi akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Gong Sabah Tahun 2026 di Dewan Terbuka Pekan Baru Matunggong di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Matunggong.

Hajiji turut menyeru kepada pembuat gong dan semua pihak dalam rantaian industri alat muzik tradisional agar terus berinovasi.

“Kekalkan keunikan warisan, sambil meneroka reka cipta moden yang memenuhi cita rasa semasa dan berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.

“Kejayaan usaha ini memerlukan sokongan pelbagai pihak terhadap masyarakat setempat dalam memelihara seni pembuatan gong.

“Penglibatan golongan muda amat penting agar kemahiran ini dapat dipelajari dan diwariskan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri komited untuk memartabatkan kebudayaan sebagai pemacu industri pelancongan tempatan selaras dengan agenda ekonomi di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Pelancongan berasaskan kebudayaan berpotensi menjana ekonomi komuniti, khususnya di kawasan luar bandar.

“Kepelbagaian seni dan budaya etnik Sabah merupakan aset bernilai yang menarik dari dalam dan luar negara.

“Oleh itu, marilah kita memelihara dan mempromosikan keunikan ini secara kreatif, termasuk melalui teknologi digital agar lebih dikenali di peringkat global,” tambahnya lagi.

Beliau berharap pesta itu akan terus menyemarakkan kebudayaan, mengukuhkan perpaduan dan memperkenalkan keunikan Sabah.

Hadir sama, wakil Pesuruhjaya Polis Sabah, SAC Datuk Ashmon Bajah, Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Datuk Dr. Christoper Mandut, Penolong Pegawai Daerah, Tinah Maralin, Ketua Daerah Mahkamah Anak Negeri Matunggong, Somuil Mojiun dan Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, ASP Ronning Mulut.