KOTA KINABALU: Seorang murid lelaki berusia 11 tahun parah di kepala selepas dilanggar kereta ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, Manggatal, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai berlari melintas jalan dari arah kanan ke kiri sebelum dirempuh kereta Proton Waja dipandu lelaki berusia 69 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.03 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Pekan Manggatal menuju ke CKS Manggatal.
“Apabila tiba di hadapan SK Darau, Jalan Tuaran Lama, kenderaan itu melanggar mangsa yang dipercayai sedang berlari melintas jalan.
“Mangsa mengalami kecederaan serius di kepala sebelum dihantar ke Hospital Likas untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan masih berada di wad kecemasan Zon Merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kereta terbabit ditahan untuk menjalani pemeriksaan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk merakam percakapan semua pihak terbabit serta mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mazlan Mursalam, di talian 012-3036605 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Shahrudin turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pihak.