BEAUFORT: Kehadiran pengunjung ke Festival Bagandang Peringkat Daerah Beaufort 2026 melepasi sasaran awal 5,000 orang sepanjang empat hari penganjurannya, sekali gus mencerminkan sambutan positif masyarakat terhadap penganjuran festival berteraskan warisan budaya itu.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata, sambutan menggalakkan itu bukan sahaja melibatkan penduduk setempat, malah turut menarik kehadiran pengunjung dari luar daerah Beaufort.
Menurutnya, jumlah kehadiran itu amat memberangsangkan meskipun penganjuran festival berkenaan berdepan keadaan cuaca tidak menentu, termasuk hujan lebat pada sebelah petang.
Beliau berkata, sambutan tersebut lebih bermakna memandangkan Festival Bagandang kembali dianjurkan selepas hampir 10 tahun tidak diadakan.
“Festival ini bukan sahaja bertujuan menghidupkan semula kemeriahan acara kebudayaan masyarakat setempat, tetapi juga menjadi platform untuk memperkenalkan warisan budaya, memperkukuh perpaduan serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Festival Bagandang yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, di Dataran Bagandang, di sini, hari ini.
Isnin berkata, penganjuran festival berkenaan dilihat penting bagi memberi ruang kepada masyarakat untuk menonjolkan keunikan budaya, semangat kesepakatan serta warisan yang dimiliki daerah Beaufort.
Selain mengangkat warisan budaya, katanya, kehadiran pengunjung yang ramai turut memberi kesan positif kepada ekonomi setempat, khususnya kepada peniaga dan usahawan tempatan yang mengambil bahagian.
Beliau berkata, maklum balas diterima daripada para peniaga menunjukkan mereka memperoleh pendapatan yang menggalakkan sepanjang festival berlangsung.
“Impak positif ini antara faktor yang mendorong pihak penganjur untuk meneruskan penganjuran festival berkenaan pada tahun hadapan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Festival Bagandang dapat diteruskan sebagai acara tahunan dengan penglibatan lebih ramai masyarakat serta menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar daerah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah dan semua agensi terlibat, khususnya Kementerian Dalam Negeri, atas sokongan serta kerjasama dalam menjayakan penganjuran festival berkenaan.
Katanya, pihak penganjur berharap festival itu akan terus mendapat sambutan lebih besar sekiranya dianjurkan semula pada tahun hadapan.