Ketua Menteri mahu Pesta Kalimaran terus diperkasakan

TENOM: Penganjuran Pesta Kalimaran perlu terus diperkasakan dengan melibatkan lebih ramai usahawan tempatan dan pemain industri pelancongan bagi merancakkan ekonomi komuniti serta mempromosikan warisan budaya Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, penglibatan lebih ramai pengusaha kecil, usahawan tempatan, penggiat kraftangan, pengusaha makanan, inap desa dan pemain industri pelancongan perlu diberi perhatian dalam penganjuran pesta itu pada masa akan datang.

“Kita mahu penglibatan lebih ramai pengusaha kecil, usahawan tempatan, penggiat kraftangan, pengusaha makanan, pengusaha inap desa serta pemain industri pelancongan,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran pesta berkenaan selari dengan usaha Kerajaan Negeri untuk membangunkan produk dan pengalaman pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri di setiap daerah di Sabah sebagai persiapan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

“Pesta ini akan memperkukuh industri pelancongan budaya, di samping memberi peluang kepada masyarakat setempat memasarkan produk tempatan dan memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena majlis perasmian Ilau Kalimaran (Pesta Kalimaran) di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.

Dalam ucapannya, Hajiji turut menyeru golongan muda, khususnya generasi muda Murut, supaya tidak melupakan budaya dan warisan etnik masing-masing.

“Jangan anggap budaya tradisional sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman. Sebaliknya, jadikan budaya sebagai satu kekuatan dan peluang. Gunakan teknologi digital dan media sosial untuk memperkenalkan budaya Murut kepada dunia.

“Dokumentasikan tarian, muzik, pakaian, makanan, bahasa, cerita rakyat dan adat resam kita. Kita mahu melihat generasi muda menjadi duta budaya Sabah.

“Jika kita tidak mengambil langkah untuk memelihara budaya kita hari ini, kita mungkin kehilangan sebahagian daripada identiti kita pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, generasi muda Murut juga perlu terus mengingati perjuangan Datuk Seri Panglima Ontoros bin Endoi atau lebih dikenali sebagai Antanom yang menjadi lambang keberanian, keteguhan pendirian dan semangat perjuangan.

“Namun, semangat Antanom yang ingin kita warisi bukan semata-mata tentang keberanian untuk berjuang, tetapi juga tentang maruah, harga diri, kepemimpinan, kesetiaan kepada tanah air dan kecintaan kepada masyarakat.

“Nilai-nilai ini amat relevan dalam kehidupan kita pada hari ini. Saya mahu semangat Antanom terus menjadi inspirasi kepada generasi muda Sabah supaya mereka menjadi generasi yang menghargai tanah air, mengekalkan perpaduan, berani menghadapi cabaran, berilmu, berkemahiran, mempunyai jati diri dan sentiasa memberikan sumbangan kepada negeri dan negara,” katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri komited memastikan khazanah kebudayaan semua etnik di Sabah terus dipelihara, didokumentasikan dan dipromosikan.

Katanya, usaha itu selaras dengan inisiatif kerajaan untuk memperkukuh pemetaan dan dokumentasi budaya etnik Sabah bagi memastikan kepelbagaian warisan budaya negeri ini terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri berhasrat untuk terus memperkasakan Kemabong menerusi pembangunan sektor pertanian, keusahawanan, pelancongan, infrastruktur dan ekonomi setempat.

Menurutnya, penganjuran acara berskala besar seperti Pesta Kalimaran mampu membantu memperkenalkan Kemabong sebagai destinasi kebudayaan dan pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri di Sabah.

“Saya percaya dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan sokongan padu daripada rakyat, Kemabong akan terus berkembang dan menikmati limpahan pembangunan,” katanya.

Hajiji turut mengajak semua pihak menjadikan Pesta Kalimaran sebagai platform untuk memperkukuh hubungan persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Marilah kita terus mempertahankan keamanan, keharmonian dan kestabilan negeri ini. Janganlah kita membiarkan perbezaan menjadi punca perpecahan.

“Saya percaya, dengan perpaduan dan kestabilan, kita mampu meneruskan agenda pembangunan melalui Sabah Maju Jaya,” katanya.