KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah memperkukuh penyelarasan tindakan bagi memastikan bekalan ayam dan telur di negeri ini kekal stabil, selain dapat diperoleh pengguna pada harga berpatutan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata penyelarasan itu merangkumi aspek pengeluaran, pengedaran, pemantauan harga dan penguatkuasaan bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan.
Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Penstabilan Bekalan Daging Ayam dan Telur Ayam di Sabah yang dipengerusikannya di Perbendaharaan Malaysia Sabah, di sini, hari ini.
“Mesyuarat ini meneliti kedudukan bekalan dan harga ayam serta telur ayam di Sabah, di samping membincangkan penyelarasan tindakan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
“Ini termasuk memperkukuh peraturan berkaitan, di samping meneliti aspek kawal selia pengeluaran dan pengedaran bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Armizan berkata, peranan agensi berkaitan perlu diselaraskan berdasarkan bidang kuasa dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan isu di peringkat pengeluaran dan bekalan dapat ditangani seiring dengan pemantauan harga serta penguatkuasaan.
Katanya, antara agensi terbabit termasuklah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Pertanian Sabah, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan KPDN, selain agensi serta pihak berkepentingan lain di peringkat negeri dan Persekutuan.
Menurutnya, penyelarasan berkenaan juga menjadi asas kepada pembentukan mekanisme lebih berkesan untuk menangani isu bekalan dan harga melalui perkongsian maklumat lebih baik, pembahagian tanggungjawab yang jelas serta tindakan susulan berkesan.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri akan terus diperkukuh bagi memastikan bekalan barangan keperluan rakyat di Sabah kekal terjamin dan dapat diperoleh pada harga berpatutan,” katanya.
Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, serta Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, bersama wakil jabatan dan agensi berkaitan.