30 reruai meriahkan Pameran Pelancongan Komuniti Sabah 20 November ini

KOTA KINABALU: Sebanyak 30 reruai bakal memeriahkan Pameran Pelancongan Sabah Berasaskan Komuniti 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 November ini di Suria Sabah Shopping Mall, dengan sasaran menarik sekurang-kurangnya 3,000 pengunjung.

Penganjuran edisi kelapan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (LPS) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) itu mengangkat konsep tamu bagi mengetengahkan keunikan budaya, tradisi serta produk tempatan dari kawasan luar bandar.

Pengerusi LPS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, konsep tamu dipilih kerana ia sinonim dengan kehidupan masyarakat Sabah, selain menjadi platform tradisi bagi penduduk setiap daerah memasarkan hasil keluaran dan produk tempatan.

Katanya, daripada 30 reruai yang disediakan, sebanyak 12 reruai dikhususkan kepada ejen pelancongan berdaftar untuk mempromosikan serta menjual pakej pelancongan berasaskan komuniti.

Menurutnya, penglibatan ejen pelancongan itu merupakan antara pembaharuan dalam penganjuran tahun ini bagi membantu pengusaha komuniti memperluaskan pasaran produk pelancongan mereka, khususnya di kawasan luar bandar.

“Sesetengah pengusaha pelancongan berasaskan komuniti sudah mempunyai pakej tersendiri, tetapi mereka memerlukan sokongan ejen pelancongan untuk membantu menjual dan memperluaskan pasaran produk berkenaan.

“Melalui pameran ini, kita mahu menghubungkan pengusaha komuniti dengan ejen pelancongan supaya peluang kerjasama dan pemasaran pakej dapat diteroka dengan lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sabah Community Based Tourism Fair 2026 di sini, hari ini.

Joniston berkata, pameran itu turut membuka peluang kepada pengusaha komuniti memasarkan produk dan perkhidmatan secara langsung kepada pengunjung, selain meningkatkan pendedahan terhadap destinasi pelancongan di kawasan luar bandar.

Antara produk yang bakal dipamerkan dan dijual termasuk kraftangan, cenderamata, makanan serta minuman tempatan menerusi penyertaan persatuan pelancongan dari setiap daerah.

Pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi perkongsian mengenai kelestarian agro pelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti, demonstrasi kraftangan, masakan tradisional, pertandingan mewarna kanak-kanak serta permainan tradisional.

Katanya, penganjuran itu menyasarkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk penduduk tempatan, keluarga, pelajar universiti serta pelancong domestik dan antarabangsa yang berada di Sabah.

Inisiatif itu juga bertujuan menggalakkan rakyat Sabah meneroka destinasi pelancongan di negeri sendiri, selain memberi peluang kepada keluarga mendapatkan maklumat mengenai pilihan percutian tempatan atau staycation.

Pameran berkenaan akan dirasmikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.

Joniston berkata, penganjuran itu turut menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh promosi pelancongan berasaskan komuniti menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, sekali gus memastikan masyarakat luar bandar turut menikmati manfaat ekonomi daripada pembangunan sektor pelancongan negeri.